Sinopsis Bab 4 → Bab 6 (Novel Tingkatan 5)


Novel Bimasakti Manari : Sinopsis Bab 4 → Bab 6 (Novel Tingkatan 5)


Bab 4:
         
Budiman kembali ke rumah dengan menaiki sebuah kereta jenis hibrid seperti yang diimpikan oleh Nurul Hafsa. Budiman dan adiknya makan tengah hari bersama ayah mereka, Haji Yassir. Seusai solat Zohor berjemaah, Budiman bertanyakan khabar Nurul Hafsah tentang hari pertama dia bekerja di balai cerap. Setelah mendapat jawapan yang mengecewakan daripada adiknya, Budiman yang merupakan seorang guru Sains di Sekolah Menengah Kebangsaaan Tanjung Keramat sejak tiga tahun yang lalu membaca laporan menggunakan Skala Langit Gelap Bortle yang ditaip adiknya, Nurul Hafsah. Skala ini dicipta oleh John E Bortle untuk membantu peminat-peminat kaji falak amatur membandingkan tahap kegelapan langit di sesuatu tempat pencerapan dengan tempat pencerapan lain. Berdasarkan skala ini, Kuala Selangor yang pernah diklasifikasikan sebagai kelas 1 sebelum ini, kini berada di kelas 8, iaitu langit terbias dengan warna putih atau oren disebabkan cahaya lampu. Nurul Hafsah mengeluh apabila Kuala Selangor yang baru empat tahun ditinggalkannya telah berubah. Budiman mengakui penduduk Kuala Selangor belum menyedari bahawa pembangunan dan kemudahan yang dinikmati jika tidak dirancang dengan teliti akan membawa kesan buruk terhadap alam sekitar. Nurul Hafsa terkejut namun gembira  apabila menyedari bahawa Budiman turut menyokong usahanya untuk menyelamatkan Kuala Selangor daripada terus tercemar akibat pembangunan yang tidak terancang. 


Bab 5:

         
Tan Sri Muhaimin mengambil tempat pemandunya yang keletihan menunggu kepulangan beliau di lapangan terbang dan memandu laju ke sebuah kawasan kampung tempat projek rumah Ikhtiar TeknoAlam   yang didiami anaknya Muhammad Taufik. Sepanjang pemanduannya, beliau mengimbas kembali kenangan perpisahan antara beliau dengan isterinya Maryam Wickham Abdullah kerana Muhammad Taufik telah menghantar pesanan ringkas tentang kehadiran bekas isterinya untuk bermalam di situ. Beliau berasa puas dapat membuktikan kepada bekas isterinya bahawa beliau telah melakukan yang terbaik untuk anak mereka. Sesampai beliau di rumah Muhamamad Taufik, air muka beliau berubah apabila dimaklumkan anaknya bahawa Puan Maryam telah pulang. Beliau tetap bertanyakan khabar Puan Maryam kepada anaknya ketika mereka bersama dengan pemandunya Sobirin menghadap hidangan yang dimasak Puan Maryam sebelum bekas isterinya itu pergi. Walaupun Tan Sri Muhaimin terpaksa melepaskan isterinya kerana perbezaan pendapat dan membawa haluan masing-masing, namun mereka tidak pernah bermusuh dan zuriat menjadi penyambung silaturahim mereka berdua.


Bab 6:

          Nurul Hafsa membuat keputusan untuk bercakap dengan Puan Foziah, Pegawai Atasan Pejabat Majlis Daerah Kuala Selangor berkaitan dengan laporan tentang tahap kecerahan langit Kuala Selangor yang telah dihantarnya. Namun demikian, Nurul Hafsa hanya dinasihati agar tidak mengharapkan sebarang tindkan diambil kerana Puan Foziah memaklumkan tiada undang-undang alam sekitar yang telah dilanggar di Kuala Selangor. Namun demikian, Nurul hafsah tetap mengingati janjinya terhadap kumpulan pengunjung kanak-kanak dari Jepun yang ingin melihat bintang di Kuala Selangor dan impiannya yang sejak dulu hingga kini adalah untuk menjadikan Kuala Selangor, Bukit Melawati dan Balai Cerap Sultan Salahuddin tempat tumpuan peminat-peminat langit seluruh dunia melihat bintang. Dalam masa yang sama, Nurul Hafsah bertanyakan abangnya Budiman sama ada dirinya telah hilang akal dan bimbang tentang hal yang remeh-temeh. Budiman menasihati Nurul Hasfa agar bertenang dan beristighfar serta mendengar kata hati. Akhirnya, dia bertekad tidak akan membiarkan masalah pencemaran di Kuala Selangor daripada terus berlaku. Mereka sedar perkara ini tidak boleh dilakukan tanpa bantuan orang lain. Budiman bersedia untuk membawa adiknya berjumpa dengan ‘ lelaki kelip-kelip’. Lelaki tersebut merupakan individu yang memagar sungai kecil di kawasan orang melihat kelip-kelip dan dialah juga yang menghantar Budiman pulang ke rumah dengan kereta hibrid. Pada awalnya, Nurul Hafsa tidak senang dengan lelaki tersebut, namun Budiman menasihati adiknya agar tidak terburu-buru bersangka buruk terhadap orang lain.  Nurul Hafsa bersedia untuk berjumpa lelaki tersebut dengan folio yang dihasilkannya dengan tajuk Kuala Selangor: Kawasan Simpan Langit Gelap.

.