Sinopsis (Komsas Tingkatan 4)

Cerpen Munsyi : Sinopsis (Komsas Tingkatan 4)

Cerpen ini mengisahkan hasrat ‘saya’, seorang anak muda, untuk berhijrah ke kota dihalang oleh bondanya yang bimbang anaknya itu akan terpengaruh oleh budaya-budaya negatif di bandar.  Pada bondanya, ‘saya’ masih belum mantap bahasa ibunda dan jati dirinya.  Menurut bondanya lagi, warga kota sudah hilang nilai-nilai tradisi seperti cinta akan agama, bahasa dan bangsa.  Penjajah telah berjaya menyemai sentimen perkauman dalam kalangan rakyat sehingga pernah tercetusnya pertumpahan darah akibat permusuhan antara kaum.  Oleh itu, bonda menasihatkan ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa dan negara supaya terus dihormati dan disegani.  

Sebagai seorang warga yang bersifat patriotik, bonda memiliki banyak buku lama yang berkaitan dengan bahasa,dan sejarah.  Buku-buku tersebut selalu ‘saya’ baca. Menurut bonda, asas kegagahan bangsa Melayu terletak pada tiga perkara, iaitu akidah Islam, bahasa Melayu dan kesetiaan pada pemerintah yang adil. Setelah ‘saya’ berasa mampu berjuang di kota barulah bonda membenarkannya ke bandar untuk meneruskan kehidupan.  Namun bonda berpesan agar menjaga dua perkara iaitu agama dan bangsa.  Bonda juga mengirimkan sejumlah buku untuk kawan lamanya yang bernama Munsyi melalui ‘saya’.  Apabila tiba di bandar, ‘saya’ menyerahkan buku-buku tersebut pada kawannya itu yang pada pengamatan ‘saya, Munsyi’ merupakan seorang yang sangat mencintai bangsa dan budayanya.  

Dia tinggal di tanah rizab Melayu di sebuah perkampungan tradisi di pinggir bandar.  Di bandar, ‘saya’ melihat kaum mudanya telah hilang identiti dan jati diri.  Akibat sibuk bekerja, ‘saya’ tidak bertemu Munsyi.  Suatu hari, ‘saya’ mendapat khabar bahawa perkampungan Munsyi akan dibangunkan dengan pelbagai bangunan mewah dan hotel.  Apabila ‘saya’ mencari Munsyi di kampungnya, jentera-jentera berat sedang merobohkan rumah-rumah di situ.  ‘Saya’ sedih melihat buku-buku lama yang telah ‘saya’ bawa, musnah apabila rumah Munsyi dirobohkan namun Munsyi tidak kelihatan di mana-mana.

.